* gambar hiasan, taken from djrecon83's photobucket
Akhirnya, berita tentang budak koma atas jalan dalam post aku sebelum ini, keluar kat paper. Dah last week lagi keluar dalam paper Metro, aku sedar pun after adik ipar aku, Bai yang bagitau. Dah berhari aku cari kat arkib berita, baru je hari ini dapat jumpa artikel berkenaan.Laporan asal di : http://www.hmetro.com.my/articles/2011090701050620110907010506/Article/
‘Kenapa bunuh dia?’
Oleh: Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque (ekhwan@hmetro.com.my)
KAJANG: “Saya sedia memaafkan mereka yang memukul anak saya hingga mati, tetapi sebelum itu, mahu bertemu dengannya kerana ingin tahu apa salah anak saya itu hingga diperlakukan sebegitu kejam dan meragut nyawanya.
“Jika duit menjadi punca, saya sangat kecewa kerana kini nyawa seperti tiada nilai dan sesiapa saja boleh meragutnya tanpa ada rasa belas kasihan,” kata Sutin Mohd Yusof, 53, bapa kepada pelajar tingkatan satu yang ditemui terbaring di Taman Kajang Utama, di sini sebelum disahkan meninggal dunia, awal bulan lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam pada 28 Julai lalu itu, anaknya, Luqman Hakim, 13, dikatakan keluar dari rumah untuk mengunci basikalnya yang diletakkan berhampiran kediaman itu, tetapi tidak pulang selepas itu. Menurut Sutin, beberapa individu kemudian datang ke rumahnya dan memaklumkan anaknya ditemui terbaring berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di tepi jalan besar berhampiran taman perumahannya.
“Kami sekeluarga terkejut apabila dimaklumkan kejadian itu dan segera pergi ke tempat kejadian untuk melihat keadaannya. “Apabila tiba, isteri saya mendapati arwah sudah tidak sedarkan diri dan segera menghantarnya ke wad kecemasan Hospital Kajang (HK) sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Katanya, anaknya disahkan meninggal dunia selepas koma hampir 10 hari dengan kematian disebabkan pendarahan teruk di kepala akibat tempurung kanannya disahkan pecah oleh doktor. Beliau berkata, keluarganya terkilan kerana anaknya dipukul dengan kejam hingga meragut nyawanya, selain tidak mengetahui punca individu berkenaan tergamak bertindak di luar batasan hingga meragut nyawa anaknya yang tidak berdosa.
“Beberapa hari sebelum kejadian, anak saya memaklumkan takut untuk ke sekolah kerana seorang pelajar senior sering memeras ugutnya. Tapi saya tidak menuduh mana-mana pihak dan menyerahkan siasatan kes kepada polis untuk mencari suspek dan berharap individu itu dikenakan hukuman setimpal,” katanya. Beliau berkata, anaknya itu agak pendiam pada malam kejadian sedangkan sebelum ini, dia seorang yang ceria dan gemar bergurau dengan adik beradik lain.
“Sebelum keluar rumah pada malam kejadian, anak saya itu ada berpesan kepada kakaknya yang bakal berkahwin tidak lama lagi supaya menjaga diri dan tidak bergaduh dengan bakal suami. Anak saya memakai jersi pasukan kebangsaan kerana begitu teruja menonton perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Singapura pada malam kejadian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, berdasarkan laporan doktor dari HSB, kecederaan dialami mangsa tidak konsisten dengan kecederaan akibat dibunuh. Oleh itu, polis menyiasat kes berkenaan sebagai mati mengejut (SDR).
“Kami sudah memanggil dan mengambil keterangan beberapa individu, namun setakat ini tidak dapat mengaitkan pembabitan individu terbabit dengan kes itu,” katanya.al-Fatihah kepada arwah adik Luqman Hakim (baru hari ini aku dapat tahu nama beliau) dan takziah kepada keluarga arwah. Semoga pemergian arwah diredhai & sesiapa yang bertanggungjawab dalam kes ini dapat dihadapkan kemuka pengadilan.